UMNO Mungkin Pinjam Kerusi MIC - SELANGOR POST

728x90 AdSpace

Latest News
Wednesday, April 18, 2018

UMNO Mungkin Pinjam Kerusi MIC

BAGAN DATUK, 18 Apr: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang akan diberikan kepada UMNO pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, katanya, pengumuman mengenai kedudukan agihan bagi kerusi Parlimen dan DUN di negeri ini bakal diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak lama lagi.

“Saya telah kemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan menteri besar mengenai permintaan kerusi DUN diberi kepada UMNO kerana sebelum ini kerusi itu ditandingi oleh MIC. Ia merupakan permintaan daripada cawangan UMNO di Hutan Melintang yang meminta kerusi tersebut (yang diwakili MIC) dipinjamkan kepada UMNO.

“… dan saya telah membawa permintaan itu kepada perdana menteri serta menteri besar dan mereka sedang mempertimbangkannya sama ada kerusi itu akan ditandingi oleh UMNO atau sebaliknya,” katanya ketika berucap sempena lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sungai Keli di sini hari ini.

Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk meminta masyarakat setempat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai calon kerusi DUN Hutan Melintang sebelum pengumuman dilakukan.

Beliau berkata sekiranya pertukaran kerusi antara UMNO dan MIC dilaksanakan, beliau akan turun berkempen di kawasan yang akan ditandingi oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

“Sehingga kini, agihan kerusi bagi UMNO dan parti komponen BN yang lain telah selesai, tunggu pengumuman sahaja daripada menteri besar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden meminta pengundi di Hutan Melintang supaya memberi kemenangan kepada calon BN pada PRU14 bagi melaksanakan kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan yang ketika ini diwakili oleh pemimpin pembangkang.

“Saya minta yang lepas, biarlah lepas…kita mahu merampas kembali kerusi DUN Hutan Melintang ini kerana perancangan pembangunan di kawasan ini akan dilakukan selepas ini untuk kesenangan dan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid melakukan lawatan ke tapak projek jeti penambang Kampung Kota di sini bagi meninjau kerja-kerja pembinaan yang sedang giat dijalankan.

Jeti penambang itu melibatkan peruntukan RM731,500 melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan akan siap sepenuhnya tidak lama lagi.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

Item Reviewed: UMNO Mungkin Pinjam Kerusi MIC Rating: 5 Reviewed By: Musang Maya (Nur Shila)