Sunday, May 27, 2018

Bale ledak dua gol

Johari Seman     1:03:00 PM    

KIEV: Gareth Bale melangkah dari bangku simpanan untuk meledak dua gol, termasuk satu daripada gol terhebat sepanjang zaman pada final Liga Juara-Juara bagi membolehkan Real Madrid menewaskan Liverpool 3-1 di Kiev awal pagi tadi untuk menjulang gelaran itu buat tahun ketiga berturut-turut.

Jaringan Bale menerusi gerakan akrobatik pada minit ke-64 meletakkan Real 2-1 di depan beberapa ketika selepas dibawa masuk hasil permulaan cemerlang pada separuh masa kedua di mana Karim Benzema meletakkan Real di depan hasil kesilapan Loris Karius.

Sadio Mane menyamakan kedudukan namun Bale terus meletakkan Real di depan dan kemudiannya memastikan kemenangan mereka menerusi rembatan jarak jauh yang hanya mampu membuat Karius menumbuk jaring.

Aksi skuad Juergen Klopp dan Liverpool dicemari dengan kehilangan Mohamad Salah akibat kecederaan pada separuh masa pertama apabila pemain Mesir itu dibawa keluar selepas setengah jam perlawanan akibat kecederan bahu.

Ternyata aksi hari itu tidak memihak Salah apabila Real memastikan Zinedine Zidane menjadi jurulatih pertama menjulang Liga Juara-Juara tiga tahun berturut-turut.

"Dengan pasukan seperti ini, kami mampu pergi jauh tetapi meraih kemenangan kali ketiga, ia benar-benar tidak masuk akal," kata Zidane selepas perlawanan itu.

Madrid menjadi pasukan pertama melakukannya selepas Bayern Munich pada 1976. Ini adalah gelaran keempat mereka dalam tempoh lima tahun dan ke-13 keseluruhan.

Cristiano Ronaldo kini menjulang lima gelaran itu sepanjang kariernya namun tidak menafikan ia malam bertuah buat Bale.

Apabila ditanya sama ada ia gol terbaik pernah dijaringkannya, Bale berkata: "Saya perlu katakan, pada tahap tertinggi bola sepak dunia, jaringan seperti ini bagaikan impian menjadi nyata.

Namun Bale bukannya pemain yang kerap diturunkan Real musim ini dan dia mengakui akan mempertimbangkan masa depannya pada minggu-minggu berikutnya.

"Saya rasa saya patut bermain setiap minggu dan jika tidak ia sesuatu yang patut saya pertimbangkan. Kami akan berbincang pada musim panas dan mencari penyelesaian." - AFP

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .