Wednesday, May 23, 2018

Bermula Dengan Rempeyek Percuma Kini Sudah Berjaya

Johari Seman     4:31:00 AM    

Permaisuri: “Bermula dengan memberi sampel rempeyek secara percuma kepada orang untuk dirasa, kini permintaan terhadap makanan ringan ini di luar jangkaan,” kata pengusaha rempeyek, Khairil Bariah Razali, 49.

Dia yang lebih mesra disapa Kak Tah berkata, pembabitannya dalam industri itu bermula sejak 10 tahun lalu secara suka-suka.

“Pada mulanya saya cuba mengolah sendiri resipi rempeyek yang sangat popular di negeri kelahiran serta arwah suami iaitu Perak dan kemudian mengagihkan kepada keluarga serta kenalan.

“Kalau ada orang menempah makanan saya selitkan sebekas rempeyek untuk dirasa dan saya tidak sangka ia diterima baik masyarakat di pantai timur terutamanya Terengganu.

“Saya menghasilkan empat jenis rempeyek iaitu ikan bilis, kacang tanah, kacang dal dan hijau yang lebih rangup serta sedikit pedas,” katanya yang ditemui di bengkelnya di Kampung Seri Kenangan, Pelong di sini, semalam.


KAK Tah memerhatikan pekerjanya membungkus rempeyek untuk pelanggan.
Ibu tunggal kepada enam orang anak itu berkata, menjelang musim perayaan permintaan rempeyek meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

Menurutnya, sepanjang Ramadan terutama beberapa minggu sebelum Aidilfitri menyebabkan dia dan pekerja akan menghasilkan rempeyek dari awal pagi hingga ke malam.

“Dianggarkan sebanyak 21,000 keping rempeyek dapat dihasilkan menggunakan 70 kilogram (kg) tepung dengan setiap satu kg mampu menghasilkan 300 keping rempeyek.

“Setakat ini, terdapat lapan orang pekerja sepenuh masa serta tiga ahli keluarga yang menguruskan operasi pembuatan rempeyek di sini,” katanya.

Kak Tah berkata, purata pendapatan secara kasar pada musim perayaan boleh mencecah sehingga RM60,000 disebabkan banyak permintaan dan tempahan pelanggan.

“Harga rempeyek bergantung kepada kuantiti dan bekas yang digunakan antara RM12 hingga RM15 bagi setiap 45 keping rempeyek tetapi harga jualan di pasaran biasanya lebih mahal.

“Disebabkan terlalu sibuk menguruskan perniagaan ini, sudah empat tahun kami sekeluarga terpaksa pulang beraya di Perak pada jam 2 pagi Aidilfitri dan tiba di kampung ketika azan Subuh,” katanya.-myMetro

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .