Sunday, May 27, 2018

BN Sarawak patut keluar dari BN Pusat, kata penganalisis

Johari Seman     9:30:00 PM    

KUCHING, 27 Mei — Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini disarankan keluar dari BN pusat dan membentuk gabungan mereka sendiri agar tidak disinonimkan dengan BN yang popularitinya semakin merosot.

“Keluar dari BN dan membentuk perikatan mereka adalah perlu agar tidak disinonimkan dengan BN yang dianggap jenama yang sudah merosot popularitinya dan semakin ditolak rakyat,” kata Prof. Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

BN Sarawak merupakan parti pembangkang kedua terbesar di Malaysia dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dalam temu bual dengan Bernama, Awang Azman berkata kebimbangan ini (kemerosotan populariti) akan menular ke Sarawak jika langkah tersebut tidak diambil segera oleh BN Sarawak, hingga boleh menyebabkan tidak kurang 30 peratus daripada kerusi dimenanginya pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada 2016, akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, perlu diperhatikan bahawa kejayaan BN Sarawak pada PRN 2016 banyak bergantung pada faktor populariti ketua menteri ketika itu Tan Sri Adenan Satem, dan ketiadaan Allahyarham kini pasti menjejas populariti parti-parti komponen BN Sarawak.

Naib presiden PBB Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah berkata ada kemungkinan besar kerajaan campuran negeri Sarawak akan keluar dari BN untuk menubuhkan parti perikatan yang baharu.

Menurut Karim, BN adalah satu jenama yang sudah pudar dan tidak lagi diterima oleh rakyat.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata menubuhkkan perikatan baharu adalah jalan terbaik untuk BN Sarawak.

Katanya, mahu tidak mahu BN Sarawak terpaksa ambil tindakan drastik dengan keluar daripada BN pusat dan tubuhkan satu entiti politik yang baharu.

Mesyuarat PBB pada minggu lalu ada membincangkan perkara mengkaji semula kedudukannya di dalam BN.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan Sarawak membantah sebarang percubaan untuk menerima kemasukan mana-mana parti komponen BN Sarawak terutama PBB.

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata menerima PBB ke dalam PH samalah seperti menerima Umno menyertai PH. — Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .