Wednesday, May 23, 2018

Bos SPRM akui diugut, terima peluru ketika mahu tuduh Najib

Johari Seman     2:47:00 AM    

PETALING JAYA, 22 Mei — Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengakui berdepan pelbagai ugutan, tekanan dan gangguan sewaktu menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata beliau diugut untuk dipecat sewaktu menyiasat kes RM42 juta wang SRC international, anak syarikat 1MDB.

Bercakap dalam sidang media di pejabat SPRM Putrajaya, beliau berkata ugutan itu berlaku sewaktu SPRM membuka kes fail siasatan kes itu terhadap Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2015.

“Saya diugut untuk dipecat, diminta bersara awal atau berhenti awal, diugut dan dipindah ke bahagian latihan,” katanya, yang disiar secara langsung.


“Tetapi beliau [Tan Sri Abu Kassim Mohamed, ketua pesuruhjaya SPRM waktu itu] beri sokongan di belakang dengan apa yang berlaku,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga berdepan kemungkinan ditangkap atau dipenjara selepas pertemuan dengan peguam negara ketika itu Tan Sri Abdi Gani Patail yang sedang bersiap untuk mengheret Najib ke mahkamah.-Malay Mail

Katanya, ancaman itu berkaitan dakwaan “berkonspirasi menjatuhkan kerajaan” susulan pertemuan di pejabat Abdul Gani pada 26 Julai, sehari sebelum dipecat atas alasan kesihatan.

“Saya ini pejuang [menentang] rasuah, bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Apa kuasa saya untuk menjatuhkan kerajaan? Saya juga mendapat maklumat lain bahawa saya akan ditangkap,” katanya.

Mohd Shukri juga berkata beliau menerima peluru yang dihantar ke rumahnya tetapi hal itu tidak dimaklumkan kepada pegawai bawahannya dan keluarganya kerana bimbang mereka ketakutan.

Ditanya individu yang mengugutnya, beliau berkata: “Kami tahu individu itu, tetapi kami tidak boleh kaitkan secara langsung dia dengan orang itu dan ini.”

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ugutan tersebut datang daripada Pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut menerima ugutan melalui mesej WhatsApp daripada pihak tertentu yang menyatakan akan ada individu tertentu akan bertemu dengannnya.

Selain itu, katanya, ugutan lain melalui WhatsApp turut diterima, yang dikirimkan kepada ketuanya.

“Tetapi kami tidak berundur, kami tetap mara ke hadapan untuk melengkapkan siasatan,” katanya, yang tidak membuat laporan polis ekoran ugutan itu.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .