Friday, May 25, 2018

Caruman untuk suri rumah sukar dilaksana - MTUC

Johari Seman     2:46:00 PM    

KUALA LUMPUR: Cadangan memperkenalkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dua peratus kepada suri rumah sukar dilaksanakan kerana terikat dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Akta Kerja 1955.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, berkata pelaksanaan cadangan itu perlu mendapatkan persetujuan dan rujukan pihak berkepentingan yang termaktub dalam kedua-dua akta berkenaan.

Katanya, penetapan kadar caruman dua peratus daripada gaji suami itu tidak boleh diubah tanpa kerelaan pencarum atau pindaan di buat ke atas dua-dua akta berkenaan.

"Justeru, saya lihat sukar untuk dilaksanakan caruman dua peratus kepada suri rumah ini dalam masa yang terdekat atau 100 hari seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan kadar caruman KWSP dua peratus untuk suri rumah daripada gaji suami dan bayaran RM50 daripada kerajaan untuk skim berkenaan.

Cadangan caruman KWSP untuk suri rumah itu adalah antara 10 janji yang perlu ditunaikan dalam 100 hari oleh kerajaan Pakatan Harapan seperti tercatat dalam manifesto Pilihan Raya ke-14 (PRU-14).

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan berkata beliau akan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP minggu depan berhubung pelaksanaan caruman KWSP itu.

Abdul Halim menjelaskan semua caruman KWSP yang dilaksanakan kini adalah termaktub dalam kedua-dua akta berkenaan, yang mana ketika ini pekerja mencarum 11 peratus daripada gaji manakala majikan menyumbang 13 peratus.

Katanya, jika caruman dua peratus untuk suri rumah itu mahu dilaksanakan maka pindaan perlu di buat ke atas kedua-dua akta berkenaan atau ia masih boleh dilaksanakan tetapi pencarum membuatnya secara sukarela.

"Jika kita mahu mewajibkan setiap pekerja menyumbang dua peratus untuk isteri maka ia mungkin memerlukan pindaan akta yang perlu kelulusan Parlimen.

"Perlu diingatkan bahawa caruman dua peratus itu tidak boleh diwajibkan kerana majikan tidak bertanggungjawab kepada isteri atau keluarga pekerja. Tanggungjawab majikan hanya kepada pekerja mereka saja," katanya.

Beliau berkata, MTUC tidak akan bersetuju dengan arahan mewajibkan caruman dua peratus untuk isteri jika ia tidak dilaksanakan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Kita bukannya menolak suami membuat caruman untuk isteri mereka bagi menjaga kebajikan keluarga tetapi adalah lebih baik kadar caruman dinaikkan dua peratus oleh majikan kerana skim pengeluaran yang sedia ada diperkenalkan KWSP sudah melindungi semua pihak yang mencarum termasuk isteri dan anak-anak.

"Saya juga merasakan lebih baik penamaan diwajibkan ke atas nama isteri dan anak-anak jika benar mahu melindungi kebajikan suri rumah," katanya.

Beliau juga membangkitkan kebimbangan jika caruman dua peratus itu turut membabitkan isteri yang bekerja serta impak pelaksanaan cadangan itu yang tergesa-gesa menyebabkan usaha melindungi suri rumah tidak mencapai objektifnya atau tersasar.

"Justeru, perlu ada perbincangan lanjut bukan hanya dengan KWSP tetapi kumpulan yang mewakili pekerja dan majikan," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/05/430091/caruman-untuk-suri-rumah-sukar-dilaksana-mtuc

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .