Sunday, May 27, 2018

Hairan jadi menteri, PM mahu Dzulkefly ‘enjoy’

Johari Seman     1:42:00 PM    

KUALA LUMPUR, 27 Mei ― Hairan dilantik menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad bertanya sendiri kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dzulkefly berkata soalan itu diajukan ketika majlis angkat sumpah baru-baru ini dan Dr Mahathir sekadar memberi jawapan ringkas.

“Saya pun tertanya-tanya. Jadi dalam majlis angkat sumpah, sambil sembang, saya pun tanya Tun. Beliau hanya senyum memandang saya.

“Dia pegang dan sebut ‘saya mahu kamu enjoy pelantikan ini. Saya pasti kamu akan enjoy jawatan baru ini.’ Itu saja yang dia jawab,” katanya.

Ahli parlimen Kuala Selangor itu berkata demikian ketika diwawancara wartawan Harian Metro selepas dipilih menerajui Kementerian Kesihatan.

Dzulkefly berkata apa yang lebih mengejutkan ialah beliau bukanlah kepimpinan tertinggi parti yang layak dipilih sebagai menteri.

“Presiden menang, timbalannya menang, empat daripada lima naib presiden turut menang [pilihan raya]. Saya peringkat pengarah saja.

“Jadi untuk mendapat tempat dalam pusingan pertama pemilihan jawatan Kabinet, memang saya tidak jangka sama sekali.

“Angan-angan saya pun sekiranya ada pusingan kedua atau ketiga adalah di kementerian lain. Sama ada timbalan menteri ke bawah,” katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .