Friday, May 25, 2018

Isu MB Perlis: Asalkan bukan saya dan Azlan – Ismail

Johari Seman     2:28:00 PM    

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Datuk Ismail Kassim merafak sembah kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk melantik calon lain selain dirinya dan ADUN Bintong Datuk Seri Azlan Man (Gambar) sebagai menteri besar Perlis.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu juga mencadangkan mana-mana lapan daripada ADUN Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negeri berkenaan.

“Demi menyelesaikan kemelut yang berlaku ini, kami mencadangkan mana-mana lapan antara kami untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar. Mereka ini mempunyai pelbagai latar belakang yang tidak ada masalah untuk memimpin negeri, asalkan bukan saya dan Azlan.

“Kami bersedia untuk bersama-sama menghadap Tuanku sekiranya dipanggil bagi memperbetulkan keadaan demi kebaikan rakyat Perlis,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Katanya, beliau tidak mahu dilihat sebagai gila kuasa atau menteri besar boneka hanya kerana namanya dicalonkan oleh abangnya yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Tuanku Syed Sirajuddin hari ini menzahirkan rasa dukacita susulan tindakan sembilan ADUN BN yang tidak hadir pada majlis pelantikan dan angkat sumpah Azlan sebagai menteri besar Perlis hari ini.

Kesemua mereka tidak hadir kerana dikatakan tidak bersetuju dengan pelantikan Azlan.

BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.– Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .