Friday, May 25, 2018

Jamal didakwa di Hospital Ampang Puteri

Johari Seman     3:28:00 PM    

AMPANG: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengalami sakit belakang terpaksa didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Majistret Raja Noor Dilla Raja Mahyaldin yang diiringi jurubahasa mahkamah dan pegawai penyiasat, tiba di wad premium hospital itu untuk membacakan tuduhan terhadap Jamal, 48, pada jam 10.45 pagi.

Media tidak dibenarkan masuk ketika prosiding selama setengah jam itu, malah pintu masuk ke wad berkenaan turut dikawal pengawal keselamatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Jamal didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak dengan menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan pintu pagar keluar pos 1, Bangunan SUK Shah Alam, jam 10.15 pagi, pada 5 Oktober 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum denda maksimum RM400.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap Jamal.

Bagaimanapun, peguam Mohd Nasir Yusof yang mewakili Jamal memohon jaminan RM2,000 dibenarkan terhadap anak guamnya.

Ketika ditemui media, Megat Mahathir memberitahu Jamal mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret.

Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamian dan menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Shah Alam.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .