Sunday, May 27, 2018

KAFA dedah usaha jatuhkan Kelantan

Johari Seman     4:40:00 PM    

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendedahkan wujud usaha dilakukan pihak tertentu yang mahu melihat Kelantan berada dalam keadaan tidak menentu musim ini.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan ketika mendedahkan perkara itu berkata, usaha menjatuhkan skuad Kelantan sedang berlaku dan beliau dimaklumkan oleh beberapa individu yang sedia menunjukkan bukti.

Malah katanya, masalah sama pernah melanda beberapa pemain yang menyebabkan pihak pengurusan terpaksa menyingkirkan mereka daripada pasukan.

"Sebenarnya bola sepak Kelantan dijatuhkan oleh orang-orang yang tidak mahu melihat KAFA dipulihkan, banyak pemain disingkirkan disebabkan oleh campur tangan pihak luar yang hanya mahu lihat kami hancur.

"(Orang) itu bukan orang lain, saya tidak mahu menuduh tetapi saya banyak menerima kiriman WhatsApp dari beberapa individu yang rela datang jumpa dan tunjukkan kepada saya apa yang sedang berlaku di sebalik semua ini," katanya dalam kenyataan balas di akaun Facebook peribadinya, hari ini.

Kelantan yang tidak sunyi dengan pelbagai isu musim lalu terus dilanda nasib sama musim ini apabila isu membabitkan kewangan dan pemain terus berlaku dalam kem The Red Warriors (TRW).

Dalam kenyataan sama, Bibi Ramjani yang kini sedang mengerjakan umrah di Makkah, dilihat kecewa dengan sikap penyokong yang mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap pengurusan badan induk itu sedangkan pihaknya sudah berusaha demi melihat Kelantan terus bersaing musim ini.

Katanya, beliau sendiri sudah mengeluarkan sejumlah wang yang besar bagi menstabilkan kantung bola sepak negeri itu bagi memastikan tiada sebarang isu hutang berlaku selepas ini.

"Sebenarnya siapa presiden yang semua (penyokong) mahukan? Setakat ini ramai yang sudah jadi histeria dengan pelbagai kata-kata hina.

"Presiden mana yang sanggup keluarkan tidak kurang RM5 juta selama lapan bulan demi pasukan bola sepak? Saya juga membayar hutang dengan menyelesaikan baki kontrak pemain dengan harapan tiada isu berbangkit.

"(Namun) siapa yang menyokong saya dari segi kewangan (itu)? Bagi tajaan yang ada, ia dibayar melalui ejen yang tidak sampai ke KAFA sepenuhnya.

"(Penjelasan) ini adalah untuk siapa yang minta saya letak jawatan itu (atau) ada calon yang sesuai yang mana hutang pun kini sudah berkurangan," katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .