Wednesday, May 23, 2018

Kementerian Kesihatan mohon lebih peruntukan

Johari Seman     1:32:00 AM    

PUTRAJAYA, 22 Mei: Kementerian Kesihatan akan memohon lebih peruntukan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi kementerian itu ketika ini.

Menteri Kesihatan yang baharu dilantik, Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara masalah utama dihadapi kementerian ialah proses penempatan graduan perubatan sebagai pegawai perubatan siswazah atau ‘housemanship’, harga ubat mahal, tempoh menunggu pesakit di hospital dan sasaran mencapai nisbah seorang doktor bagi 400 penduduk menjelang 2030.

“Masalah ini berikutan peruntukan diterima Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2018 tidak mencukupi untuk menanggung kos yang ditanggung kementerian membabitkan isu-isu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat dan mendengar taklimat daripada Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan anggota pengurusan tertinggi kementerian.

Dzulkefly tiba di ibu pejabat kementerian tepat 8.30 pagi tadi dan menghadiri mesyuarat yang berlangsung lebih tiga tam.

Dzulkefly berkata kementerian juga akan memberi perhatian serius terhadap isu kebajikan serta beban kerja kakitangan profesional perubatan dan akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasinya nanti.

“Ini cabaran dihadapi kementerian ekoran daripada peruntukan bajet yang tidak mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata beliau juga merancang melaksanakan Skim Peduli Sihat yang dilaksanakan di Selangor untuk diperkenal ke seluruh negara bagi memenuhi manifesto Pakatan Harapan dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Di Selangor, rakyat berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan yang berdaftar dengan Skim Peduli Sihat akan menerima rawatan hospital secara percuma, katanya.– Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .