Friday, May 25, 2018

Kertas siasatan 1MDB tak pernah ditutup – IGP

Johari Seman     2:22:00 PM    

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menutup kertas siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan siasatan kes berkenaan masih berjalan sehingga kini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata PDRM akan bekerjasama dengan kesemua pihak termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berhubung 1MDB.

“Oleh yang demikian, PDRM telah buka semula kertas siasatan 1MDB dan kami akan menyiasat menggunakan tiga akta iaitu Kanun Keseksaan, Akta Syarikat dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” katanya pada sidang akhbar majlis penyerahan bungkusan kuih raya PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid yang meminta PDRM memulangkan wang UMNO yang dirampas di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohamad Fuzi berkata ia perlu dituntut mengikut proses dan peruntukan undang-undang.

“Siasatan masih berjalan dan kami memerlukan masa bagaimana kaedah permohonan ini (menuntut wang) perlu ambil tindakan serta mengikut saluran,” katanya.

Ditanya sekiranya PDRM akan memanggil bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk diambil keterangan berhubung siasatan 1MDB, Mohamad Fuzi berkata setakat ini tiada sebarang tindakan diambil dan polis akan meneliti perkara itu kemudian.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan Isnin lalu mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Turut disiasat SRC International, anak syarikat 1MDB yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyerahkan sebanyak 3,768 bungkusan kuih raya sempena Hari Raya Aidilfitri kepada warga PDRM di Bukit Aman.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .