Wednesday, May 23, 2018

Kipre Tchetche Muncul Wira Terengganu FC Benam Perak 2-0

Johari Seman     1:18:00 AM    

KUALA TERENGGANU: Kipre Tchetche muncul wira Terengganu FC (TFC) apabila meledak dua gol ketika membantu pasukannya membenam cabaran Perak 2-0, dalam aksi ke-11 Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Dua jaringan pemain kelahiran Ivory Coast itu membolehkannya mengumpul koleksi lapan gol dalam saingan liga, setakat ini.

Dalam pertembungan sebentar tadi, kedua-dua pasukan bermula agak hambar di awal permainan sekaligus membuatkan kira-kira 3,000 peminat setia skuad Penyu serta sebahagian penyokong skuad The Bos Gaurus kelihatan bosan.

Sepanjang suku babak pertama, tuan rumah hanya melakukan satu percubaan menerusi tandukan Bruno Suzuki pada minit ke-15.

Namun, percubaan hasil hantaran Lee Tuck itu langsung tidak mencemaskan gawang pelawat yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam.

Begitu juga percubaan pertama Perak, menerusi tandukan Robert Richard Cornthwaite pada minit ke-23, hasil sepakan percuma Wander Luiz Junior - hanya melewati palang gol tuan rumah yang dikawal Wan Mohd Azraie Wan Teh.

Namun, permainan mula berubah pada minit ke-25 apabila pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali menghadiahkan sepakan penalti kepada TFC selepas pemain sayap J.Partiban dijatuhkan Muhammad Rafiuddin Roddin.

Tchetche yang diberi tanggungjawab menyempurnakan penalti bijak memanfaatkan peluang untuk membolehkan TFC memimpin perlawanan 1-0.

Bersambung di babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim semakin ghairah apabila terus mengasak untuk memburu jaringan kedua, namun percubaan menerusi gerakan Suzuki, Tuck dan Tchetche berjaya dikekang pertahanan pelawat.

Tertekan dengan asakan bertali arus tuan rumah, Perak mula mencipta gerakan mencari penyamaan, namun pelawat sekali lagi kecewa apabila TFC menambah jaringan pada minit ke-51.

Tchetche yang langsung tidak dikawal di dalam kotak penalti sekali lagi menjadi pemusnah apabila mudah menolak masuk untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Skuad The Bos Gaurus berpeluang untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-66, menerusi Junior, tapi rembatannya terkena tiang gol dan susulan daripada kapten, Nasir Basharudin juga tersasar untuk menyaksikan keputusan kekal 2-0.-Berita Harian

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .