Tuesday, May 22, 2018

Lagi pegawai tertinggi kerajaan beri taklimat kepada CEP

Johari Seman     12:41:00 AM    

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Beberapa orang lagi pegawai tertinggi kerajaan dan pertubuhan utama hari ini mengadakan mesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang ditugaskan untuk menasihatkan kerajaan mengenai hal ehwal ekonomi dan kewangan.

Mereka ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan (Pelaburan) Datuk Asri Hamidon dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektor Komersil), Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Kementerian Kewangan Datin Rashidah Mohd Sies.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Seri Sabin Samitah juga memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

Turut memberi taklimat ialah Presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.

Pada 12 Mei, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan untuk membantu kerajaan Pakatan Harapan memenuhi 100 janjinya kepada rakyat.

Anggota Majlis Penasihat Kerajaan ialah bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas Tan Sri Hassan Merican, tokoh perniagaan Robert Kuok dan pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundaram.

Majlis penasihat kerajaan juga mempunyai dua jawatankuasa di bawah bidang kuasanya iaitu Jawatankuasa Pembaharuan Intitusi dan jawatankuasa yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).– Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .