Friday, May 25, 2018

MB Kedah terkejut harga daging RM36 sekilo

Johari Seman     3:32:00 PM    

JERLUN: Kerajaan Kedah kini sedang merangka mekanisme pengawalan harga barang keperluan berikutan berlaku kenaikan harga khususnya pada Ramadan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan yang memberi kesan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, selain kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga berusaha untuk merangka mekanisme terbaik bagi meringankan beban tanggungan rakyat.

"Saya terkejut apabila mendapati harga daging di negeri ini meningkat kepada RM36 sekilogram sedangkan 10 tahun lalu, ia hanya sekitar RM18.

"Rakyat tertekan dengan keadaan ekonomi negara masa kini, ditambah pula dengan kenaikan harga barang tanpa kawalan yang menambahkan derita rakyat.

"Sehubungan itu, kita sedang berusaha mengatasi isu ini tetapi memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikannya" katanya,

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Jerlun di perkarangan Masjid Melele, di sini malam tadi.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen kawasan itu menyerahkan sumbangan kepada 360 penduduk dari Parlimen Jerlun yang kurang berkemampuan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra berkata, dasar kerajaan negeri yang baharu ini akan memberi tumpuan kepada golongan asnaf dengan meringankan beban hidup rakyat dan membantu meningkatkan pendapatan.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .