Sunday, May 27, 2018

Pindah 1MDB Bukan Jual Beli

Johari Seman     4:29:00 PM    

PUTRAJAYA 27 Mei - Pemindahan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Kementerian Kewangan bukanlah satu transaksi jual beli.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pegawai-pegawai kementerian mengesahkan bahawa tiada penjanjian jual beli telah dilangsungkan atau dijalankan.


“Ini adalah konsisten dengan saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). PAC telah mendapati bahawa 1MDB tidak mempunyai keupayaan kewangan, kemampuan untuk membangun atau menjual aset-aset hartanah tersebut.

“Oleh sebab itu, PAC telah mengesyorkan supaya Kementerian Kewangan mengambil alih aset-aset tersebut untuk menjamin dan meningkatkan kemampanan

projek-projek berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 22 Mei lalu, Guan Eng menyatakan bahawa Kementerian Kewangan telah membayar pelbagai tuntutan kewangan yang dikenakan ke atas 1MDB sejak April 2017.

Pembayaran tersebut kini berjumlah RM6.98 bilion sementara sebanyak RM954 juta lagi perlu dibayar sebelum akhir tahun ini.

Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Facebook pada Jumaat lalu telah memberitahu, adalah salah untuk memanggil pembayaran-pembayaran tersebut sebagai satu bailout.

Beliau berkata 1MDB telah memindahkan kesemua aset hartanah termasuk Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia kepada kementerian seperti yang disarankan oleh PAC maka pembayaran-pembayaran tersebut adalah merupakan pampasan kepada 1MDB.

Guan Eng menjelaskan, Najib juga tidak patut lupa bahawa tanah-tanah tersebut telah dijual oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB pada harga yang tersangat rendah antara tahun 2010 hingga 2012.

Katanya, ini termasuk tanah TRX seluas 28.3 hektar yang dijual kepada 1MDB pada harga RM230 juta iaitu sekitar RM74 bagi satu kaki persegi dan 196.6 hektar tanah Bandar Malaysia dijual kepada 1MDB pada harga RM1.6 bilion iaitu sekitar RM72 satu kaki persegi.

“Mengapa Kementerian Kewangan perlu memberikan pampasan sebanyak berpuluh-puluh bilion kepada 1MDB, walaupun 1MDB telah membeli tanah-tanah tersebut dengan harga yang begitu murah dan gagal menjalankan sebarang pembangunan ke atas projek-projek ini?” soalnya. - UTUSAN ONLINE



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/bukan-transaksi-jual-beli-1.680497#ixzz5Ggl5Phrh
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .