Tuesday, May 22, 2018

Polis Selangor Berkas Empat Disyaki Penyamun

Johari Seman     12:32:00 AM    

SHAH ALAM, 21 Mei: Polis Selangor memberkas empat lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian samun di sebuah pusat beli-belah di Damansara Jaya, Petaling Jaya, dekat sini, dalam tiga tangkapan berasingan Sabtu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata suspek pertama diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bukit Beruntung, Rawang kira-kira 1.15 pagi.

Beliau berkata soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Bukit Sentosa, Rawang dan polis menahan seorang lagi rakan suspek pada 3 petang hari yang sama.

“Di Bukit Sentosa, lelaki yang ditahan mengalami kecederaan di kaki akibat ditembak oleh anggota kita sejurus selepas melakukan samun di kedai emas tersebut, Jumaat lepas.

“Dua lagi anggota kumpulan itu ditahan selepas bertindak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Pahang kira-kira 5 petang, juga pada hari yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Menurut Mazlan, susulan penahanan kesemua suspek yang berusia 22 hingga 30 tahun tersebut, polis merampas pelbagai pucuk pistol selain menemui semula sebahagian barang kemas yang dilarikan kumpulan itu bernilai kira-kira RM400,000.

Katanya polis kini giat memburu tiga lagi anggota kumpulan tersebut yang disifatkan berbahaya kepada orang awam kerana memiliki senjata api.

“Berikutan tumpasnya kumpulan berkenaan, kita berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes samun di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya.

Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 26 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPA) 1971, Seksyen 395/397 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 5 petang Jumaat lepas, enam suspek yang memakai topi keledar dan bersenjatakan tiga pucuk pistol menyamun sebuah kedai emas.

Dua daripada mereka maut dalam kejadian berbalas tembak dengan polis ketika cuba melarikan diri sejurus kejadian manakala empat lagi berjaya diberkas.

Pada awal pagi Sabtu, polis menembak mati seorang lagi anggota kumpulan tersebut di Bukit Beruntung.– Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .