Tuesday, May 22, 2018

Raja Perlis Akan Memutuskan Siapa Layak Dilantik Jawatan MB

Johari Seman     10:05:00 PM    

KUALA LUMPUR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akan memutuskan siapa individu yang akan dipilih sebagai Menteri Besar Perlis.





Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan baginda di Istana Arau, pagi tadi.



"Kami sudah mengadap Raja Perlis dan tuanku akan membuat keputusan berdasarkan perbincangan yang sudah dilakukan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn di sini.

Turut sama beliau dalam pertemuan dengan Raja Perlis siang tadi adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Pagi tadi, kedua-duanya tiba bersama di Istana Arau menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna putih pada jam 11.20 pagi.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya, Datuk Ismail, sebagai calon Menteri Besar baharu.

Bagaimanapun, Timbalannya, Azlan yang juga ADUN Bintong pula mendakwa tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan.

Susulan itu pada Rabu lalu, Raja Perlis memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda dan difahamkan tujuan baginda memanggil adalah bagi mengenali lebih dekat semua wakil rakyat berkenaan.-Sumber Asal Dari Berita Harian

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .