Sunday, May 27, 2018

Rezeki Ieda murah pada Ramadan

Johari Seman     1:16:00 PM    

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ieda Moin, 39, mengakui kesibukannya berganda apabila Ramadan menjelma disebabkan aktiviti lakonan, pengacaraan dan perniagaan yang berlangsung serentak.

Katanya, senario positif terbabit mula dirasai sejak memegang status ibu tunggal kira-kira empat tahun lalu, sekali gus menganggap semua itu sebagai rezeki anaknya, Nur Dhia Dania, 10.

"Saya perasan sejak bercerai, saya akan bertambah sibuk setiap kali tibanya Ramadan, berbanding bulan lain. Saya ada juga menerima tawaran kerja di luar bulan puasa, tetapi ia tidak serancak sekarang.

"Syukur, rezeki kami dua beranak dipermudahkan. Apa pun, sebagai ibu tunggal saya kena rebut peluang sebegini. Selagi khidmat diperlukan dan saya mampu bekerja, baiklah teruskan saja.

"Biasanya, kalau tidak menjalani penggambaran, saya menjadi juru acara majlis di bazar Ramadan Shah Alam sambil berniaga produk kesihatan, kerepek dan kanta lekap.

"Sudah lama sebenarnya saya berniaga kecil-kecilan begini untuk menambah pendapatan. Pada masa sama, saya mahu mengumpul pengalaman selain bertemu orang ramai," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri 26 episod, Air Mata di Bumi Matador.

Drama arahan Rahila Ali yang menyaksikan gandingan Puteri Aishah, Ben Amir, Nazrief Nazri dan Eyka Farhana itu bakal disiarkan di saluran TV2 bermula 30 Mei.

Kata Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, antara program televisyen membabitkan dirinya sepanjang bulan puasa ini adalah Geng Tadarus dan Kecoh Dapur yang kini ditayangkan di saluran TV2, selain telefilem Opocot Melatah Raya di Astro.

Bekas anggota duo Moin itu berpisah dengan bekas suaminya yang juga pengurus produksi, Mohamad Naquib, 39, pada Disember 2014 selepas bergelar suami isteri selama lapan tahun.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .