Sunday, May 27, 2018

Saya rindu ibu di Palestin

Johari Seman     10:05:00 PM    

KOTA BHARU: Tahun ini sudah tujuh kali Ramadan seorang warga Palestin tidak dapat pulang ke negara asalnya dan bertemu ibu serta keluarga tersayang.

Abdallah Ismail Haniya, 33, mengakui sangat rindukan wanita itu dan Ramadan lebih membuatkan kerinduannya berganda kerana ingin bersama mereka menjalani ibadat dan menyambut Aidilfitri.

Rindunya juga terhadap negara itu dan semua yang berkaitan, walaupun Palestin masih bergolak dan keadaan lebih serius selepas pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitulmaqdis, baru-baru ini.

Abdallah yang menetap di Kelantan dan berkahwin dengan wanita tempatan berkata, sejak ke Malaysia pada 2012, dia tidak lagi pulang ke negaranya kerana kos yang tinggi selain masalah birokrasi.

"Saya memang sangat rindukan ibu (Eitidal Subhi Haniya, 64) dan adik beradik terutama pada Ramadan ini. Mereka masih menetap di Gaza tetapi hidup susah.

"Ketika ayah (Ismail Haniya) meninggal dunia pada 2015 akibat sakit tua, saya juga tidak dapat menziarahinya dan hanya doa yang dititipkan dari sini.

"Nak pulang ke sana sangat sukar kerana perlu berdepan kerenah birokrasi selain kos yang tinggi. Jika berjaya pulang, kemungkinan besar saya tidak dapat kembali ke Malaysia dalam tempoh setahun kerana polisi ditetapkan di sana," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, hatinya lebih pilu apabila sukar mengirimkan wang kepada keluarga di Palestin disebabkan tiada perkhidmatan perbankan yang sempurna, selain bermasalah untuk menghubungi mereka.

"Dulu saya boleh berhubung menerusi Skype dengan mereka pada bila-bila masa, tetapi sekarang lebih sulit kerana mereka di sana perlu menjimatkan bekalan elektrik.

"Sekarang, seminggu hanya empat jam sahaja saya berbual dengan keluarga. Bagi kiriman wang pula, saya sampaikan melalui kenalan atau individu yang ke Palestin," katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Abdallah berkata, dia ke Malaysia dengan niat mencari rezeki demi membantu keluarganya di Palestin sebelum, hijrahnya membawa kepada pertemuan cinta dengan isteri, Noor Syazwani Nordin, 32.

Menurutnya, perkahwinan mereka dikurniakan dua anak dan dia mula menjalankan perniagaan makanan Palestin di bandar ini sejak 2014.

"Hasil jualan makanan inilah saya beri kepada keluarga di Palestin untuk meringankan beban mereka," katanya.-Berita Harian

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .