Sunday, April 24, 2016

Dasar Pertahanan Negara

Johari Seman     2:39:00 AM    

Sumber : Kementerian Pertahan Negara
Dasar Pertahanan Negara


Dasar Pertahanan Negara mencerminkan hasrat negara untuk mempertahankan
kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara.
Dasar
pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara,
prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan
sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.

Kawasan kepentingan strategik negara dapat dilihat dari tiga lapisan iaitu kawasan terdekat,
serantau dan global.

Kawasan terdekat termasuk wilayah daratan, perairan negara, ruang
angkasa, Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Selat Melaka dan laluan pintu keluar masuknya, dan
Selat Singapura selain jaluran laluan perhubungan laut dan udara yang menghubungkan
Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Kawasan serantau yang dianggap penting oleh Malaysia meliputi Asia Tenggara, termasuk
Kepulauan Andaman dan juga Laut China Selatan.

Malaysia melihat sebarang perkembangan
di rantau ini akan juga memberi kesan kepada keselamatan dan pembangunannya. Ini adalah
penting kerana Malaysia berkongsi sempadan darat atau laut atau kedua-duanya dengan
hampir setiap negara anggota ASEAN.

Sebarang gangguan kepada keselamatan rantau ini,
sama ada berbentuk konflik dalaman rantau atau luaran rantau, akan membawa kesan ke
atas keselamatan negara.

Hubungan dagangan negara yang kian berkembang, adanya pasaran baru untuk hasil-hasil
keluarannya, pelaburan asing yang bertambah dan pengambilalihan negara terhadap
syarikat-syarikat swasta yang memiliki kepentiangan-kepentingan di seluruh dunia, telah
menjadikan kepentingnan-kepentingan negara menjangkau luar dari kawasan terdekat dan
serantau.

Berdasarkan keadaan sedemikian, maka adalah menjadi kepentingan negara untuk
memastikan keamanan dunia terpelihara.

Dengan mengambilkira faktor-faktor kepentingan strategik negara dan persaingan dalam
pelbagai kepentingannya yang lain, pertahanan Malaysia berkisar sekitar prinsip-prinsip
utama iaitu Keupayaan untuk Berdikari, Kerjasama Serantau dan Bantuan Luar.

Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Malaysia menyedari bahawa langkah yang
paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha
ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara.

Prinsip ini memberi penekanan kepada keupayaan berdikari Angkatan Tentera dalam struktur
keupayaan berdikari nasional.

Ianya melibatkan tidak hanya pasukan tempur tetapi juga
rangkaian sokongan logistik cetusan kerjasama industri-ketenteraan yang sejajar dengan
keutamaan program pembangunan negara. Dalam hubungan ini, keupayaan berdikari
tidaklah terhad kepada usaha-usaha Angkatan Tentera semata-mata tetapi sewajarnya
melibatkan semua agensi Kerajaan yang berkaitan dan rakyat jelata. Walau bagaimanapun,
dengan mengambilkira had-hadnya, keupayaan berdikari negara umumnya berasaskan dua
landasan.

Pertama, memiliki keupayaan untuk bertindak bersendirian tanpa bantuan luar
dalam perkara-perkara berkenaan keselamatan dalam negeri, dan kedua, memiliki
keupayaan untuk bertindak bersendirian dalam mempertahankan kedaulatan wilayah dan
kepentingan-kepentingan keselamatan dalam lingkungan kawasan terdekat dari ancamanancaman
luar tahap rendah dan pertengahan.


Oleh kerana kedudukan geografi negara di tengah-tengah Asia Tenggara, tidak dapat tidak
kepentingan-kepentingan strategik Malaysia mempunyai pertalian yang rapat dengan
negara-negara serantau yang lain.

Berdasarkan kedudukan ini, keselamatan Malaysia adalah
sebahagian daripada keselamatan negara-negara anggota ASEAN. Dengan demikian,
sebarang ancaman terhadap ASEAN atau ke atas mana-mana negara ASEAN adalah juga
dilihat sebagai ancaman kepada Malaysia.

Dengan demikian sewajarnyalah, Malaysia
memberi keutamaan kepada kerjasama serantau.

Dalam konteks kerjasama serantau, Malaysia juga memberi sokongan terhadap
mengwujudkan hubungan kerjasama pertahanan dua hala di kalangan negara-negara
ASEAN.

Satu rangkaian kerjasama pertahanan dua hala dengan negara-negara ASEAN akan
banyak membantu dalam proses membina keyakinan dan menggalakkan ketelusan.

Seiring dengan pendekatan ini, Malaysia akan menggalak dan menyumbang ke arah
membangunkan suatu kesatuan ASEAN yang teguh dan berkesan untuk memastikan Asia
Tenggara yang aman.

Malaysia melihat penubuhan Forum Serantau ASEAN (ASEAN Regional Forum - ARF) sebagai
satu perkembangan penting ke arah kesinambungan keamanan dan kestabilan serantau.
Inisiatif ASEAN ini telah berjaya membawa bersama ahli-ahli untuk berkongsi pandangan
mengenai masalah keselamatan yang melibatkan kepentingan bersama. Proses dialog yang
dilaksanakan terbukti merupakan mekanisme penting ke arah membina keyakinan.

Aktivitiaktiviti ARF akan dapat mengwujudkan kerjasama yang lebih akrab serta persefahaman yang
lebih baik di kalangan peserta ARF.

Bagi melengkapi usaha-usaha kerjasama serantau, Malaysia juga menyedari perlunya untuk
mendapat bantuan luar dari negara-negara luar rantau. Bantuan tersebut meliputi sokongan
moral dan fizikal, kemudahan-kemudahan latihan, pemindahan teknologi dan bekalan
peralatan.

Ke arah usaha ini, Malaysia telah mengambil langkah untuk menjalin dan
meningkatkan hubungan pertahanan dengan negara-negara luar rantau. Sungguh pun
negara bertanggungjawab terhadap prinsip Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali
(ZOPFAN), ini tidak seharusnya mengenepikan keperluan untuk meminta bantuan daripada
sumber-sumber di luar rantau apabila diperlukan.

Ini terutamanya apabila tahap ancaman
adalah melebihi keupayaan angkatan tempatan untuk menghadapinya.
Malaysia menganggap peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai oleh
Singapura, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Malaysia sebagai satu saluran untuk
memperolehi bantuan luar. FPDA merupakan satu-satunya peraturan pertahanan bentuk
formal yang melibatkan Malaysia dengan negara-negara kuasa luar rantau.

Di peringkat awal penubuhan FPDA, negara menyedari bahawa dasar keupayaan berdikari memerlukan jangka
masa tertentu untuk dicapai. Lantaran itu, FPDA telah menjadi saluran kepada Malaysia
untuk membangun keupayaan pertahanan dengan bantuan negara-negara rakan yang telah
sekian lama menjalinkan hubungan pertahanan dengan Malaysia.

Corak mekanisme perundingan FPDA membuka ruang kepada negara untuk mendapat bantuan luar dan juga
jaminan keselamatan. Malaysia adalah komited dengan pendirian bahawa FPDA masih
relevan. Walau bagaimanapun, berdasarkan senario strategik semasa dan peningkatan
keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), peranan FPDA telah disusun semula untuk
mencerminkan keperluan semasa.

Komitmen tegas Malaysia terhadap Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu memerlukan negara
berpegang kepada pendirian pertahanan yang bercorak defensif.

Sehubungan dengan ini,
dasar pertahanan telah menggubal strategi berdasarkan prinsip cegah rintang dan
pertahanan menyeluruh.

Dasar ini juga menggariskan perlunya mengelakkan terjadinya
konflik dalam wilayah sendiri, sama ada dengan mencegahnya dari berlaku, atau melalui cara
berdepan dengan musuh sejauh mungkin di luar wilayah Malaysia.

Konsep cegah rintang bertujuan untuk menghindarkan bakal musuh dari mengamalkan
dasar-dasar yang bertentangan dengan langkah penyelesaian konflik secara aman.

Ini memerlukan pelaksanaan strategi pencegahan di samping usaha-usaha untuk
membangunkan sebuah angkatan tentera yang memiliki keupayaan yang mantap untuk
menghadapi peperangan.

Ini akan memastikan negara mempunyai keupayaan bagi
menghalang sebarang tindakan kekerasan atau keganasan oleh pihak lawan.

Konsep pertahanan menyeluruh berkait dengan usaha yang total dan bersepadu yang
dilaksanakan oleh Kerajaan, agensi bukan Kerajaan, sektor swasta dan rakyat jelata dalam
mempertahankan negara.

Pemeliharaan keutuhan dan kedaulatan Malaysia memerlukan
komitmen semua lapisan rakyat, dan tidak hanya oleh Angkatan Tentera.

Sungguhpun tugas mempertahankan negara merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan, kewajipan
untuk memastikan bahawa pasukan berkenaan mampu menghadapi cabaran adalah
tanggungjawab nasional.

Sungguhpun menyedari betapa pentingnya kerjasama serantau dan bantuan luar, Malaysia
yakin bahawa dasar keupayaan berdikari seharusnya terus menjadi tonggak pertahanan
negara.

Sehubungan ini, Malaysia akan terus berusaha ke arah meningkat dan
membangunkan keupayaan ATM di samping menggalakkan kesedaran pertahanan dan
semangat patriotik di kalangan rakyat jelata.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .