Tuesday, May 31, 2016

Khalid Samad Mempastikan AMANAH Bertanding

Johari Seman     10:55:00 PM    

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (PAN) sekali lagi mengulangi pendirian parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun ini.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad mengesahkan perkara itu selepas rundingan beberapa pimpinan PKR dengan Pas menemui jalan buntu untuk mewujudkan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) di kedua-dua PRK ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, beliau berharap PKR dapat menerima kenyataan bahawa Pas tidak akan menarik diri, dan tumpuan patut difokuskan untuk mengukuhkan cabaran Pakatan Harapan di dua kerusi Parlimen tersebut.

“PAN sudah menjangkakan bahawa Pas tetap bertegas dan tidak berganjak dengan pendirian mereka, walaupun ada usaha meminta mereka menarik diri bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Situasi ini menyebabkan pertembungan tiga penjuru tidak dapat dielakkan,” kata Khalid yang dipetik dari laman sesawang beliau.

Katanya, dakwaan Pas yang berkeyakinan bahawa mereka cukup kuat untuk memenangi kedua-dua kerusi Parlimen itu atas kekuatan sendiri akan diuji pada PRK 18 Jun ini.

Sementara itu ketika ditemui di Parlimen, Khalid berkata, walaupun sebelum ini PKR didakwa ingin meletakkan calon mereka di Sungai Besar namun tidak boleh menghalang hasrat PAN untuk meletakkan calon.

“Persefahamannya ialah PKR akan bertanding sekiranya Pas menarik diri tetapi Pas masih bertegas untuk bertanding, jadi biar PAN yang akan bertanding,” katanya.

Khalid berkata, jika Amanah diberi peluang bertanding, sekurang-kurangnya parti itu dapat membuktikan ia mampu mendapatkan sokongan masyarakat Melayu Islam sebagai pengganti Pas dalam Pakatan Harapan.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .