Thursday, May 12, 2016

Penjara 15 Tahun dan Sebabt Rogol Anak Saudara

Johari Seman     4:25:00 PM    

KUALA TERENGGANU - Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan kepada seorang warga emas yang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan selepas didapati bersalah merogol anak saudaranya, di mahkamah sesyen, hari ini.


Tertuduh berusia 70 tahun dan berasal dari Marang, didapati bersalah merogol anak saudaranya yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di Hulu Terengganu, pada 6 Ogos 2013, lebih kurang jam 8 malam.

Dengan itu, tertuduh didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hafizah Mohd Sokran di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam belanya merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya dengan alasan faktor kesihatan serta faktor usianya yang sudah lanjut.

Sebelum ini, mangsa dikatakan dijaga dan dibesarkan oleh tertuduh bersama pasangannya sejak dari kecil disebabkan ahli keluarga mangsa tidak mampu kerana faktor kemiskinan.

Bagaimanapun, tanpa disedari tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa yang membesar bersamanya dengan melakukan perbuatan terkutuk itu dipercayai sejak dari mangsa kecil lagi.

Gangguan seksual yang dilakukan tertuduh menyebabkan mangsa yang semakin meningkat remaja menjadi tertekan dan dipercayai sedikit sebanyak menjadikan mangsa sering kemurungan terutama ketika berada disekolah.

Selepas kejadian iaitu pada 6 Ogos 2013, mangsa dipercayai membongkarkan segala perbuatan tertuduh itu kepada rakan karib di sekolahnya sebelum diceritakan kepada guru kaunseling sekolah dan seterusnya dilaporkan kepada polis untuk tindakan susulan.
-Sinar Harian

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .