Tuesday, May 17, 2016

Siapa Kata PAS Hilang Kuasa di Selangor

Johari Seman     1:29:00 PM    

PUCHONG - Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Selangor, Dr Che Rosli Che Mat kesal dengan tindakan Parti Amanah Negara (Amanah) yang didakwa berterusan mengelirukan rakyat mengatakan Pas tidak lagi terlibat dalam pentadbiran Kerajaan Selangor.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Hulu Langat berkata, pihaknya terpaksa memperbetulkan ‘persepsi’ tersebut melalui program-program dianjurkan bersama rakyat.

Katanya, Pas mempunyai 13 kerusi Dun dan tiga wakil rakyatnya menggalas jawatan Exco di Selangor jadi tidak timbul soal Pas tidak terlibat dalam pentadbiran.

“Saya kesal dengan tindakan pemimpin parti politik yang sama-sama daripada kumpulan pembangkang juga dan hanya mempunyai dua kerusi di Selangor tetapi selalu cuba ‘pusing’ cerita mengatakan Pas tidak lagi signifikan di negeri ini,” katanya.

Tindakan itu katanya, menyebabkan ada rakyat terkeliru dan menyangka hanya Pakatan Harapan (DAP,PKR dan Amanah) mentadbir Selangor.

Che Rosli meminta pemimpin parti tersebut menghentikan dakwaan yang menyebut dan menuduh Pas tidak lagi signifikan kerana Adun dari Pas dan Exco masih menjalankan tugas serta tanggungjawab kepada rakyat.

“Pemimpin parti ini sengaja timbulkan persepsi untuk nafikan kewujudan Pas, sebelum ni DAP memang dah banyak kali minta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tendang kita (Pas) keluar, tapi kerana kekuatan beliau (Azmin), Pas masih bertahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Program Semarak Hijau anjuran Pusat Khidmat Dun Seri Serdang, di Puchong Permai.

Che Rosli sebelum itu berkata, perlu diingat kembali mengapa Pas mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuh sebelum ini.

Katanya, kerjasama dijalin dengan semangat setia kawan sebelum ini terputus apabila tiba-tiba DAP menyerang presiden parti.

“Presiden adalah ketua dalam organisasi…kalau dia serang Presiden…serang ‘ayah’ kita, tak akan kita tak marah, sebab itu ulama ambil keputusan putus hubungan.

“Perbalahan berlaku dari segi politik sahaja, pentadbiran tak kacau, malah menteri besar selalu sebut teruskan kerja demi kepentingan rakyat,” katanya tindakan itu pernah menyebabkan DAP meminta Azmin mengeluarkan Pas dari Selangor.

-Sinar Harian

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .