Tuesday, May 17, 2016

Sumbangan bukan untuk jatuhkan negara

Johari Seman     1:53:00 PM    

KUALA LUMPUR 16 Mei - Arab Saudi tidak pernah me­nyampaikan sumbangan kepada pihak lain dalam bentuk wang semata-mata untuk menyusahkan atau merencatkan pemba­ngunan sesebuah negara.
Menurut Presiden dan Pengerusi Lembaga Pengarah Suruhanjaya untuk Pelancongan dan Warisan Arab Saudi, Putera Sultan bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, beliau tidak begitu mengetahui latar belakang berhubung isu derma wang RM2.6 bilion, namun menegaskan, negaranya sentiasa menyokong pembangunan negara-negara Islam.
“Negara kami sentiasa menyokong pembangunan negara-negara Islam dan Arab Saudi juga mempunyai peranan dalam hubu­ngan antarabangsa dalam membantu saudara Islam yang lain, begitu juga dengan Malaysia.
“Tidak mungkin Arab Saudi memberikan sebarang sumbangan semata-mata untuk mencetuskan huru-hara terhadap negara lain dan saya beri jaminan kepada anda, negara kami bersama Malaysia sentiasa menjalinkan hubungan yang baik,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan berhubung wang derma RM2.6 bi­lion dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum per­sefahaman (MoU) mewakili kerajaan Arab Saudi dengan Kementerian Pelancong­an dan Kebudayaan di sini hari ini.
Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-13 di Istanbul, Turki pada 14 April lalu membuat pengesahan me­ngenai sumbangan derma RM2.6 bi­lion tersebut dan menegaskan perkara itu ada dalam penge­tahuannya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam sidang akhbar sama memberitahu, Malaysia akan bekerjasama dengan Arab Saudi dalam sektor pelanco­ngan bagi saling membantu mempromosi kedua-dua negara sebagai destinasi percutian.
Menurut beliau, Arab Saudi tidak mahu pelancong asing yang hadir ke negara mereka semata-mata untuk mengerjakan ibadah umrah dan haji.
“Tetapi mereka juga boleh me­lawat ke kawasan-kawasan lain bagi tujuan pelancongan. Di Arab Saudi terdapat banyak tempat yang merupakan tarikan pelancongan.
“Tetapi perkara ini tidak banyak diketahui oleh orang ramai kerana rata-rata yang ke negara itu hanya ingin mengerjakan umrah atau haji.
“Itulah sebabnya kami akan bekerjasama untuk membuat ‘penjenamaan’ kepada beberapa kawasan supaya para pelancong yang pergi ke Arab Saudi akan melihat keindahan kawasan gunung serta kecantikan seni bina yang ada di negara itu,” katanya.
Mohamed Nazri memberitahu, kerajaan Arab Saudi juga berhasrat menjadikan Jeddah sebagai transit kepada pelancong sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia dan Arab Saudi akan me­ngadakan program pertukaran pembuat kraf tangan supaya mereka dapat bertukar maklumat dan menambah ilmu dalam bidang tersebut.
-Utusan

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .