Wednesday, June 1, 2016

Tiada Player Staraf Nicol

Johari Seman     4:42:00 PM    

PRESIDEN Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How menyifatkan ratu skuasy negara yang juga pemain nombor lima dunia, Datuk Nicol David terlalu istimewa dan sukar diganti.

Menurutnya, kejayaan Nicol meraih gelaran juara dunia sebanyak lapan kali membuktikan betapa pemain kelahiran Pulau Pinang itu layak diangkat sebagai pemain terbaik dalam sejarah sukan skuasy.


"Tiada siapa boleh ganti Nicol. Kalau ada pun, sudah tentu tidak sehebat beliau.


"Jika pencapaiannya diukur, pemain handalan dunia ketika ini seperti Nour el Sherbini, Laura Massaro dan Raneem el Welily juga sukar mengikut jejak langkahnya.

"Bagi saya, Nicol berada di kelas tersendiri berbanding ketiga-tiga pemain ini," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Ying How menjangkakan pemain nombor 37 dunia, Low Wee Wern mampu menjadi pengganti meskipun tidak sehebat Nicol.

Tambahnya, kehebatan Nicol lahir daripada fokus yang tinggi manakala Wee Wern dilihat berupaya mempamerkan gerakan lancar di gelanggang.

“Sebelum dibelenggu dengan kecederaan Wee Wern sudah mencapai tangga kelima dunia dan saya yakin apabila 100 peratus pulih beliau akan kembali ke tahap sama iaitu lima tangga teratas malah Wee Wern akan memegang gelaran juara dunia suatu hari nanti.

“Pada masa sama, pemain nombor 15 dunia, Delia Arnold sedang bermain dengan baik dan saya optimis ranking dunianya akan bertambah baik,” katanya.

Katanya lagi, di belakang Delia kini ada lima pemain wanita yang cukup handal dan kesemua mereka boleh dikatakan agak muda.

“Saya tak nak beri gelaran pengganti kepada sesiapa tapi boleh dikatakan mereka semua di atas landasan yang betul kerana pada usia masing-masing mereka bermain di tahap yang tertinggi.

“Delia boleh ke tahap 10 tangga teratas dunia, manakala S Sivasangari dinilai sebagai pemain pelapis yang cemerlang dan berpotensi besar untuk mengungguli kejuaraan dunia,” katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .