Friday, July 8, 2016

HUSNI LETAK JAWATAN BUKAN KERANA 1MDB

Johari Seman     1:37:00 AM    

IPOH 7 Julai - Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menegaskan peletakan jawatan beliau dalam Kabinet dan UMNO tiada kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahmad Husni Hanadzlah
Menurutnya, keputusan meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan II dan semua jawatan dalam parti disebabkan beliau sudah lama berhasrat meninggalkan politik.

Katanya, keputusan tersebut juga tidak menjejaskan hubungan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Tidak... 1MDB tiada kaitan dengan peletakan jawatan saya sebab saya nak bersara sudah lama. Inilah masalahnya apabila bersara, ramailah yang kata ini tentu ada masalah.

"Saya tiada masalah dengan Perdana Menteri, Kabinet dan parti. Ini keputusan saya. Saya beritahu pada diri sendiri suatu hari nanti saya akan bersara, cuma saya tidak tahu bila," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya di kediamannya di Sungai Rokam di sini hari ini.
Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, apa yang beliau boleh katakan mengenai 1MDB ialah entiti perniagaan yang tidak boleh dikatakan seratus peratus sempurna.

"Dalam perniagaan, ada dua perkara penting iaitu risiko perniagaan dan risiko kewangan. Ini bermakna sesiapa yang mengambil alih 1MDB, maka perlu lihat kedua-dua aspek ini. Jika mereka boleh, sudah pasti
tiada masalah," jelasnya.

Ahmad Husni seterusnya mendedahkan, pada awalnya beliau mahu bersara daripada politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan mahu menjadikan Kementerian Kewangan sebagai destinasi terakhirnya dalam kerajaan.
"Tetapi Perdana Menteri ada idea sendiri dan tukarkan saya ke kementerian lain. Saya beritahu Perdana Menteri saya tidak mahu. Jadi sila gugurkan saya dan saya ini adalah muktamad," katanya.

Ahmad Husni turut menafikan beliau akan menyertai parti pembangkang terutama bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Tidak.. saya tidak akan menyertai Mahathir atau mana-mana parti
pembangkang sebab saya percaya dalam politik ada titik pengakhirannya," katanya.

Mengenai rancangan masa depannya, Ahmad Husni berkata, buat masa ini beliau mahu menumpukan perhatian terhadap tugasnya sebagai Ahli Parlimen Tambun dengan membantu para pengundi yang menyokong beliau selama ini.
Katanya, selepas itu beliau mungkin akan mendalami bidang agama.

"Saya sudah bersara dari politik. Saya ahli biasa UMNO dan Ahli Parlimen. Biarlah saya bergerak ikut model saya.

"Biarlah saya duduk tenang sebab apabila saya tiada politik, ia sangat indah, minda saya tiada lagi gangguan, sebab dalam politik banyak gangguan," katanya. - UTUSAN ONLINE


0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .