Monday, July 11, 2016

Pengawal Peribadi Bersenjata Rebutan Tauke Besar

Johari Seman     5:32:00 PM    

KUALA LUMPUR – Kes tembak dan serangan kumpulan militan IS yang berlaku ternyata mengejutkan tauke-tauke besar bergelar Tan Sri dan Datuk Seri apabila mereka berebut-rebut menggaji pengawal keselamatan peribadi khususnya yang bersenjata.

Sinchew Daily melaporkan seorang tauke yang namanya tidak disiarkan menggaji lapan orang pengawal keselamatan peribadi untuk menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga.

Daripada lapan orang itu, lima orang adalah dibekalkan dengan senjata api.

Seramai dua orang diberi tugas khusus melindungi tauke besar tersebut manakala baki enam orang bertanggungjawab menjaga keselamatan ahli keluarganya.

"Saya mula melihat keperluan ini sejak dua tahun lalu dan meminta syarikat kawalan keselamatan menyediakan pengawal keselamatan peribadi yang terlatih dan mampu menggunakan senjata api.

"Sebaik-baiknya seorang bekas tentera," kata tauke itu.

Menurutnya, pengawal keselamatan peribadi dibayar gaji antara RM8,000 hingga RM9,000 sebulan dan kos tersebut mencecah RM10,000 hingga RM12,000 jika ditambahkan dengan bayaran kerja lebih masa (OT).

Seorang lagi tauke bergelar Tan Sri pula mengakui membawa pistol sendiri selain dilindungi seorang pengawal keselamatan peribadi yang turut bersenjata api.

Selain itu, rumahnya turut dijaga oleh dua hingga tiga orang pengawal keselamatan.

Walau bagaimanapun, Tan Sri itu tidak melengkapkan kenderaannya dengan kaca kalis peluru.

Pengarah Urusan Star CMS Security Services Sdn. Bhd., Datuk Tan Joon Kiang berkata, permintaan untuk pengawal keselamatan peribadi yang bersenjata api adalah tinggi sehingga berlaku ‘kekurangan stok’.

Menurutnya, urusan memohon lesen senjata api daripada polis memakan masa yang lama.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .