Tuesday, July 12, 2016

Penunggang Motorsikal Maut Dilanggar Kereta

Johari Seman     1:04:00 PM    

Gambar Hiasan
KOTA KINABALU: Seorang penunggang maut serta-merta selepas terlanggar sebuah kereta di Jalan Tuaran Bypass berdekatan Kampung Rampaian di sini, malam Jumaat lalu.

Mangsa dikenali sebagai Herwan Jaip, 25, berasal dari Kampung Lentigi, Kota Belud disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian oleh pihak ambulans.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata kejadian jam 8.20 malam itu berlaku membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dan motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki mangsa.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Toyota Vios dalam perjalanan dari arah Telipok menuju ke pusat beli-belah 1Borneo.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit yang membuat pusingan U berdekatan Kampung Rampaian dilanggar oleh motosikal yang dinaiki mangsa di jalan utama dari arah Inanam menuju ke Telipok,” katanya.

Chandra berkata impak pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal maut serta-merta di lokasi kejadian manakala pemboncengnya hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka dan pemandu kereta Toyota Vios tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Siasatan lanjut mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu kereta Toyota Vios kerana keluar dari pusingan ‘U’ dengan tidak memberi peluang kepada kenderaan lain sehingga menyebabkan kemalangan maut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah Penguasa Bomba Khatizah Rahaban berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.17 malam dan menggegaskan sekumpulan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ke lokasi kejadian.

“Seorang mangsa lelaki maut di lokasi kejadian dan anggota bomba menghantar mangsa wanita yang cedera ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) menggunakan jentera EMRS untuk menerima rawatan selanjutnya.

“Operasi terkawal pada jam 9.04 malam dan tamat jam 9.11 malam kemudian,” katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .