Tuesday, July 12, 2016

Saluran Najis Tersumbat Disebabkan Tuala Wanita

Johari Seman     12:57:00 PM    

TANAH MERAH - Kerja pembersihan tangki kumbahan Masjid Ismail Petra, di sini, yang tersumbat dikejutkan dengan penemuan beberapa barang buangan yang tidak sepatutnya dibuang dalam lubang tandas.

Imam 1 masjid berkenaan, Rosli Mohd Ismail berkata, barang buangan dipercayai turut menjadi punca tangki kumbahan tersumbat itu termasuk lampin pakai buang bayi, seluar dalam dan tuala wanita.

“Kita panggil orang bersihkan tangki kumbahan tandas sebab penuh dan tersumbat tetapi bila buka penutup tangki, bukan saja najis manusia tapi penuh dengan pampers (lampin), seluar dalam dan tuala wanita,” katanya semalam.

Menurutnya, selepas pelbagai usaha dibuat pihaknya untuk membudayakan tandas bersih termasuk menyediakan tong sampah, sikap segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab dan memandang remeh aspek kebersihan amat mengecewakan.

“Pihak pengurusan masjid amat mengambil berat aspek kebersihan termasuk tandas untuk kesempurnaan ibadah dan keselesaan orang ramai kerana masjid ini dikunjungi ribuan pengunjung setiap hari.

“Jika ada pengunjung tidak beri kerjasama sama-sama jaga kebersihan tandas ini dan berterusan buang barang buangan yang tidak sepatutnya ke dalam lubang tandas, sia-sia sahaja usaha kami,” katanya.

Justeru, Rosli merayu orang ramai yang singgah di Masjid Ismail Petra supaya sama-sama memelihara kebersihan masjid itu termasuk tandas untuk kemudahan dan keselesaan semua pengunjung.

Katanya, selain dari segi keselesaan dan kesihatan, aspek kebersihan dititik beratkan pengurusan masjid bagi menjaga imej Masjid Ismail Petra sebagai masjid utama di daerah ini.

“Minta tolong, minta tolong, wahai pengunjung dan pengguna di luar sana, selepas ini jangan lagi buang ‘benda-benda’ ini dalam lubang tandas.

“Saya mohon sangat-sangat, buanglah dalam tong sampah yang disediakan oleh pihak masjid dan bukan semuanya sumbat dalam lubang tandas,” katanya.

-Sinar Harian

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .