Friday, July 8, 2016

Setiap Jumaat, tempat letak kereta bertukar surau wakaf

Johari Seman     1:34:00 PM    

KUALA LUMPUR, 5 Jul ― Ada satu pemandangan yang menarik pada setiap tengahari Jumaat di pusat ibu kota.

Seperti lazimnya akan kelihatan berduyun-duyun kaum adam beragama Islam keluar dari bangunan-bangunan, berjalan kaki menuju ke tempat yang satu, iaitu Menara Bank Islam, Jalan Perak, Kuala Lumpur.

Mereka ini ada yang santai berselipar dengan pakaian pejabat atau berbaju Melayu, berjalan menelusuri lorong dan sepanjang Jalan Pinang, Jalan P. Ramlee, Jalan Kia Peng dan Jalan Raja Chulan.

Di kawasan segitiga emas itu tiada masjid tersergam kecuali yang paling hampir Masjid Assyakirin KLCC.

“Macam pemandangan di Makkah, melihat gayanya mereka berjalan kaki dari celah-celah lorong dan bangunan, melintasi jalan serta trafik di sekitar kawasan ini, “ kata Wan Norkhairi Wan Samad, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad ketika menggambarkan suasana setiap hari Jumaat di sekitar kawasan pejabatnya.

Sejak lima tahun lalu, ruang bawah tanah Menara Bank Islam, Jalan Perak dibuka sebagai surau untuk solat Jumaat.

Ini membuatkan ribuan umat Islam di kawasan sekitar tidak perlu keluar jauh mencari masjid untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebelum ini, ada pekerja di pusat beli-belah berhampiran yang mengaku kadang-kadang terlepas peluang bersolat sebelum ini kerana tiada masjid yang berhampiran.

Surau ini yang bermula sebagai surau kecil yang boleh memuatkan sekitar 600 orang kini mampu menampung jemaah Jumaat sehingga 3,500 orang.

Untuk keperluan solat Jumaat, dua tingkat ruang bawah tanah tempat letak kereta bangunan itu ditukar sebagai ruang solat.

Apa yang mengagumkan ialah ruang bawah tanah itu dibentangi hamparan bersih setiap Jumaat. Untuk keselesaan jemaah, pendingin hawa turut dipasang dan di setiap sudut terdapat juga kipas.

Khutbah yang dibaca turut jelas kedengaran kerana sistem siar raya yang canggih di samping pemasangan skrin multimedia.

Di sudut dinding ruang bawah tanah itu terdapat kitab-kitab al-Quran disusun kemas untuk kemudahan jemaah yang datang awal dan mahu mahu membaca kitab suci itu.

Surau wakaf

Surau itu ialah surau wakaf dan ia sebahagian daripada bangunan yang diduduki Bank Islam, anak syarikat BIMB Holdings.

Ia dibina di atas tanah yang diwakafkan seorang pedagang Gujarat dan meliputi kawasan seluas kira-kira 0.48 hektar.

Menurut Haji Mohd Nazri Chik, Ketua Pegawai Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad yang juga Pengerusi Surau, surau itu dinamakan Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadhaboy (SWADD).

Beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, melihat keperluan surau itu dijadikan surau Jumaat setelah menyedari tiada masjid di kawasan sekelilingnya.

“Usaha diteruskan di bawah jawatankuasa syariah untuk mendapatkan kelulusan dengan syarat kamiberoperasi sebagai surau Jumaat,” katanya kepada Bernama.

Maka wujudlah surau di dua tingkat bawah tanah yang pada hari-hari biasa menjadi tempat letak kereta.

Pada setiap petang Khamis, ia ditutup dan tiada kereta dibenarkan berada di situ untuk persediaan solat Jumaat esoknya.

Sebuah syarikat yang dilantik pihak pengurusan surau akan membersihkan ruang itu, membentangkan hamparan, memasang alat siar raya dan menegakkan skrin multimedia untuk kemudahan dan keselesaan jemaah.

Surau dua tingkat itu akan bertukar wajah untuk keselesaan kira-kira 3,500 jemaah setiap Jumaat yang terdiri daripada kakitangan pejabat, pekerja kompleks beli-belah dan bangunan komersial, kakitangan hotel dan bank serta pelawat di sekitar kawasan itu.

Infrastruktur dan kemudahan bersolat dengan selesa itu bukan datang daripada pengurusan Bank Islam, tetapi dibiayai hasil daripada sumbangan jemaah surau sendiri yang mencecah RM25,000 setiap minggu atau RM100,000 sebulan.

Pelbagai aktiviti untuk jemaah

Mohd Nazri berkata jawatankuasa surau memberi fokus kepada mengembalikan sumbangan ini dalam bentuk keselesaan jemaah yang banyak menyumbang kepada pembangunan infrastuktur surau itu.

Menurut beliau, bukan mudah untuk memasang pendingin hawa dan alat siar raya di ruang letak kereta bawah tanah memandangkan inilah satu-satunya surau Jumaat yang diadakan di ruang bawah tanah, tetapi untuk kemudahan jemaah, ia berjaya dilakukan.

Untuk komposisi jawatankuasa pengurusan surau, kata Mohd Nazri, mereka turut melantik wakil masyarakat yang terdiri daripada kakitangan sebuah bank berhampiran dan pengunjung setia SWADD.

Sebagai surau, SWADD berfungsi seperti surau Jumaat Institusi dan pada hari-hari biasa ia mengadakan solat fardu berjemaah sehinggakan waktu Subuh pun ada jemaah yang bertandang solat di surau itu yang mempunyai tiga imam.

Memandangkan hasil sumbangan jemaah yang banyak setiap minggu, SWADD tidak memerlukan Bank Islam untuk menanggung kos pengurusan dan aktiviti, membayar gaji imam atau mengupah syarikat yang menguruskan kemudahan surau pada setiap Jumaat.

Surau itu aktif mengadakan program ilmu dan pengetahuan seperti kuliah Zuhur setiap Isnin hingga Jumaat, kuliah Jumaat, kuliah perdana sekali sebulan, sesi bicara bersama mufti Wilayah Persekutuan dan kuliah Muslimat setiap Jumaat.

Malah SWADD turut menerbitkan buku kecil panduan solat, zikir dan doa untuk jemaah dan orang ramai.

Pengurusan surau juga mengambil khidmat bantuan Rela khusus untuk mengawal lalu lintas. Ia juga memastikan orang awam tidak meletak kereta atau berniaga di kawasan berhampiran setiap Jumaat supaya tidak mengganggu ketenteraman kerana premis itu terletak di tengah-tengah ibu kota.

Khutbah dan ceramah di SWADD juga adakalanya, kata Mohd Nazri, diadakan dalam Bahasa Inggeris untuk manfaat jemaah masyarakat bekerja di sekitar kawasan itu dan pelancong luar.

Bantuan untuk bukan jemaah

Sumbangan jemaah juga dimanfaatkan untuk anak-anak serta keluarga jemaah.

Antara kegiatan ialah penganjuran seminar keluarga bahagia pada Mei lepas, kem cuti sekolah dan pelbagai program yang bertujuan menguatkan jati diri umat Islam, menangani masalah kerapuhan institusi rumah tangga dan kemahiran keibubapaan.

Beberapa program lagi disusun hingga ke hujung tahun ini iaitu seminar pengurusan keluarga dan harta, kursus praktikal muazzin dan kursus amali pengurusan jenazah.

Mohd Nazri berkata, dalam hal itu, SWADD banyak bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Begitu juga dalam usaha mengutip derma untuk tujuan tertentu, seperti sumbangan untuk pelarian Syria yang diadakan dengan kerjasama Muslim-Care Malaysia.

SWADD berjaya mengumpulkan daripada jemaah solat Jumaatnya sebanyak RM33,200, sumbangan untuk sebuah Sekolah Menengah Agama di Naka, Kedah yang ditimpa musibah kebakaran sebanyak RM10,000 dan sumbangan dana pembanguan Masjid Bandar Enstek di bawah pengurusan Tabung Haji di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira RM24,700.

Pemurahnya jemaah solat Jumaat di SWADD jelas dilihat semasa banjir besar negara pada 2014, mereka menyumbang RM100,000, untuk penduduk Palestin dan pelarian di Jordan masing-masing kira-kira RM40,000 dan RM50,000.

Mohd Nazri menekankan pengurusan surau mengutamakan sumbangan jemaah dibelanjakan untuk dikembalikan manfaatnya kepada jemaah dan umat Islam lain, bukannya disimpan.

Bulan Ramadan

Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, aktiviti SWADD memuncak dengan solat jemaah dilanjutkan kepada Solat Tarawih dan Witir setiap malam. Bagi tahun yang ketiga, ia juga mengadakan majlis berbuka puasa bersama Bank Islam di hadapan bangunan wakaf itu. Program ini dinamakan Ramadhan fest@SWADD.

“Menyediakan makanan berbuka puasa atau iftar kepada jemaah seperti yang kami lakukan ini mungkin satu-satunya di Kuala lumpur. Lazimnya ia diadakan di dalam surau atau di masjid tapi kami sediakan di tempat lapang, di hadapan bangunan. Pembiayaannya dari sudut bayaran makanan datang daripada surau dan khemah daripada pembiayaan Bank Islam, “ katanya.

Makanan yang disediakan adalah untuk sekitar 500 orang untuk berbuka puasa hingga kepada moreh selepas solat tarawih.

“Setiap hari ada tazkirah sebelum berbuka puasa. Ustaz undangan adalah daripada bahagian syariah Bank Islam sendiri yang bergilir-gilir membincangkan pelbagai topik menarik, “ katanya.

Khemah Ramadan ini bukan sekadar menarik kedatangan kakitangan Bank Islam dan jemaah SWADD tetapi juga mereka yang bekerja sampai malam di bank dan kawasan sekitarnya, pemandu teksi serta pelancong Islam dan bukan Islam.

Menurut Mohd Nazri, sebanyak RM200,000 diperuntukkan termasuk kos ustaz, imam solat tarawih dan penyediaan makanan pada hari-hari bekerja sahaja.

SWADD juga menjemput yang bukan Islam turut serta melalui usaha dakwah bilhalnya.

“Selama empat minggu hidangan yang disediakan sengaja dibuat berlainan setiap minggu melalui katerer Muslim berbeza atas tujuan meraikan orang yang berpuasa di samping memberi rezeki kepada peniaga Muslim yang lain, “ tambah beliau.

Mohd Nazri menegaskan bahawa SWADD memastikan tiada pembaziran dalam penyediaan makanan berbuka puasa kerana mereka sentiasa memantau keperluan jemaah.

Sekiranya ada makanan berlebihan pada hari-hari tertentu, makanan itu akan dibungkus dan diagihkan kepada yang memerlukan seperti gelandangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Interaksi dengan jemaah

Mohd Nazri berkata SWADD dan Bank Islam sentiasa memastikan jemaah mendapat akses mudah untuk mengetahui tentang aktiviti dan pengurusan surau serta memberi maklum balas melalui Facebook, e-mail, whatsapp dan telefon.

“Semakin canggih cara kita memudahkan orang bersedekah melalui dalam talian menggunakan kad debit dan sebagainya, semakin tinggi keperluan untuk telus dan efisien dalam mengendalikan penyata akaun,” katanya.

Beliau bercerita bagaimana pengurusan surau SWADD membeli dua mesin pengira wang dan mengambil masa sehingga petang untuk mengira setiap ringgit sumbangan tabung Jumaatnya dan dimasukkan terus ke dalam akaun bank SWADD.

Kelebihan SWADD ialah yang menguruskan akaun merupakan kakitangan bank maka rekodnya teratur malah mendapat pengiktirafan majlis agama, antara yang terbaik dalam kalangan masjid-masjid.

“Kepercayaan jemaah dikembalikan dengan tadbir urus yang baik,” kata Mohd Nazri. ― Bernama

- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/setiap-jumaat-tempat-letak-kereta-bertukar-surau-wakaf#sthash.YbSw18fF.dpuf

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .