Thursday, October 13, 2016

Bajet 2017: Insentif khas pembeli kereta nasional pertama - Perodua

Johari Seman     2:59:00 PM    

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) berharap kerajaan akan mempertimbang untuk memberi insentif khas kepada pembeli kereta nasional pertama dalam Bajet 2017.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, langkah itu akan dapat menggalakkan lagi perbelanjaan pengguna.

Beliau berkata, insentif berkenaan, misalnya boleh dalam bentuk pengurangan jumlah bayaran muka.

"Ini akan memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem automotif, serta industri kewangan dan insurans, memandangkan keadaan ekonomi yang lembap dalam tempoh terdekat," katanya di sini hari ini.

Bajet 2017 akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 21 Oktober ini.

Aminar Rashid berkata, harapan Perodua dalam bajet yang akan dibentangkan tidak lama lagi termasuk pelan hala tuju Dasar Automotif Negara yang berterusan dalam meliberalisasi pasaran.

"Bagaimanapun, ini perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat untuk memastikan vendor tempatan mempunyai masa yang cukup untuk meningkatkan kecekapan dan keupayaan untuk bersaing secara adil.

"Ini juga untuk memastikan pelaburan peserta automotif tidak tergugat," katanya.

Beliau berkata, Perodua juga berharap kerajaan akan terus menyokong industri automotif tempatan, sama dengan negara-negara maju yang lain seperti Jerman, Korea Selatan, Jepun dan juga Amerika Syarikat, dari segi insentif.

"Ini akan menggalakkan aktiviti pembuatan, di samping meningkatkan keupayaan vendor dan pengeluar peralatan tulen. Pada masa yang sama, ini membantu menggalakkan eksport dalam ekosistem automotif.

"Kerajaan juga perlu mempertimbang untuk melonggarkan dasar perolehan untuk membolehkan Perodua dimasukkan sebagai pilihan bagi pembelian kenderaan pukal kerajaan.

"Ini akan mewujudkan lebih pilihan dan nilai kepada kerajaan pada masa ia perlu mendapatkan nilai terbaik atas barangan yang dibeli," katanya.

Beliau berkata, pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) akan memberi kesan positif kepada ekonomi secara keseluruhan, kerana bank-bank akan mengurangkan kadar pinjaman dan merangsang perbelanjaan.

"Kami menghormati dan menyokong pendirian bank pusat berhubung garis panduan pinjaman, tetapi kami juga percaya bahawa semua institusi kewangan perlu melaksanakannya berdasarkan kes, dan bukannya mempunyai satu peraturan untuk semua," katanya. - BERNAMA

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .