Thursday, October 13, 2016

Tujuh nelayan bersama bom ikan ditahan Maritim Malaysia

Johari Seman     3:53:00 PM    

KOTA KINABALU: Tujuh nelayan yang dipercayai melakukan aktiviti pengeboman ikan berhampiran Pulau Manukan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya turut merampas kira-kira 400 kilogram ikan, sejumlah bahan letupan serta peledak daripada anak kapal semasa operasi dijalankan.

Katanya, tangkapan dijalankan semasa anggota Maritim Malaysia menjalankan operasi rutin di kawasan sekitar Pulau Manukan kira-kira jam 11.15 malam 10 Oktober lalu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot nelayan yang berada dalam keadaan mencurigakan terbabit mendapati sejumlah 400 kilogram ikan pelbagai jenis ditangkap di dalam bot berkenaan.

“Selepas menjalankan siasatan lanjut, anggota kita mendapati bahan letupan yang digunakan untuk menangkap ikan terbabit adalah bom yang dihasilkan sendiri oleh tujuh anak kapal itu,” katanya.

Zubil berkata lima daripada tujuh anak kapal mempunyai dokumen yang meragukan manakala selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya kesemua suspek berumur 20 hingga 50 tahun terbabit kemudiannya ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .