Tuesday, March 20, 2018

Akar umbi UMNO Titiwangsa 'OK' dengan Datuk Jo

Musang Maya (Nur Shila)     2:34:00 PM    

KUALA LUMPUR: Akar umbi UMNO Bahagian Titiwangsa menafikan pembabitan 'orang dalam' yang mahu menjatuhkan Ahli Parlimen, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Kewangan II.

Ia susulan tular gegantung tertera 'Saya No!! To DJ' dan 'kami ahli UMNO akar umbi Titiwangsa memohon kepada YAB Perdana Menteri agar memilih calon lain selain daripada Datuk Johari #TolakJohariGhani #JoeSombong #JoeAngkuh #asalbukanjoeghani @JoeBongkak #ABJ.

Gegantung itu yang tersebar menerusi laman sosial dikhabarkan digantung di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat. Ia adalah antara kawasan dalam Parlimen Titiwangsa.

Mengulas isu itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Titiwangsa, Suzanna Shahrom, berkata kemungkinan ada pihak yang cuba melaga-lagakan pemimpin dengan akar umbi supaya rakyat melihat wujud ketidaksepakatan dalam UMNO bahagian.

"(Dalam) Akar umbi tiada masalah. Tetapi kalau ada darah daging (orang UMNO sendiri), saya tak pasti sebab bila kita anjur apa juga program seperti pelancaran jentera dan mesyuarat, semua ketua serta wakil hadir.

"Mungkin kerja orang luar, ya, orang tak matang. Biasalah, ...nak dekat pilihan raya. Ini tindakan yang saya rasa tidak ganggu kerja kami. Apa pun yang berlaku, kami jalan terus.

"Keutamaan ketika ini adalah bekerja untuk Barisan Nasional (BN). Itu paling penting walaupun kita bekerja dengan sesiapa pun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Suzana berkata prestasi Johari di Titiwangsa amat baik kerana beliau rajin turun padang selain berada di pejabatnya untuk bertemu dengan rakyat setempat yang memerlukan bantuan.

Selain itu, katanya, sikap Johari yang terbuka untuk bertemu dengan sesiapa sahaja termasuk pihak pembangkang membuatkan masyarakat amat menyenangi beliau.

Sementara itu, sumber memberitahu Johari dijangka mengekalkan kerusi yang disandangnya ketika ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut sumber, sejak Johari menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa, beliau berusaha keras turun padang dan membantu masyarakat setempat.

"Usahanya itu membuatkan Johari diterima baik masyarakat setempat. Pencapaiannya agak baik di situ. Hal ini memungkinkan Johari akan kekal bertanding di Titiwangsa pada PRU akan datang," katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .