Wednesday, March 21, 2018

Maklumat 1MDB yang tidak Diiktiraf Kerajaan Adalah Palsu

Musang Maya (Nur Shila)     4:44:00 PM    

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Apa jua berita berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak diiktiraf pihak berkuasa, dianggap sebagai maklumat palsu, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata kes itu telah disiasat oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara serta laporan siasatan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang.

“Prosidingnya telah dilakukan secara telus. Hansardnya boleh dibaca di laman web Parlimen. Laporan PAC juga telah dikeluarkan dan boleh dibaca di laman web sama, cadangan-cadangan PAC telah diterima secara penuh dan telah dilaksanakan kerajaan sepenuhnya. Proses rasionalisasi juga telah dilaksanakan dengan baik.

“Sehubungan itu, kerajaan berpandangan selain maklumat yang disahkan oleh pihak yang mempunyai kuasa seperti yang disebutkan, apa juga maklumat selain daripadanya akan diiktiraf sebagai maklumat palsu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, beliau mahu isu berkenaan tidak dijadikan polemik khususnya oleh pihak pembangkang yang sentiasa membangkitkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Jailani berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengenakan sekatan terhadap 40 laman portal dan blog yang menyebarkan kandungan berita palsu.

Beliau juga berkata sejumlah 154 kes melibatkan jenayah siber dan penyalahgunaan media sosial telah disiasat manakala 16 kes telah didakwa di mahkamah.

Katanya, SKMM juga telah mengambil tindakan terhadap 4,358 akaun palsu dan 80 peratus daripadanya telah dipadam oleh penyedia platform media sosial.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia mengadakan program seperti Debat Perdana melibatkan anggota Parlimen kedua-dua pihak, jika terdapat keperluan dan kesesuaian siaran.

Malah, katanya, parti-parti politik juga akan diberi peluang untuk membentangkan manifesto dengan mematuhi garis panduan siaran RTM.

“Tidak timbul masalah mengatakan kita tidak pernah bagi ruang kepada pihak sebelah sana..Bukan RTM saja, tapi Astro juga pernah mengadakan temu bual bersama pembangkang sebelum ini,” katanya.–Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .