Sunday, March 11, 2018

Parlimen Bubar Awal PRU-14

Musang Maya (Nur Shila)     1:53:00 PM    

Parlimen mungkin dibubar lebih awal iaitu pada akhir Mac atau awal April bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut laporan Berita Harian yang memetik daripada sumber, pembubaran awal Parlimen berdasarkan kepada pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan pada 29 Mac tapi diawalkan.

Sumber itu berkata, Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat seawal 19 Mac atau selewat-lewatnya pada 26 Mac ini.

Katanya, pembentangan usul akan dilakukan selepas berakhir perbahasan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.

Seorang lagi sumber memberitahu Berita Harian, sempadan bahagian pilihan raya baharu akan berkuat kuasa apabila Parlimen dibubarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa Perintah Persempadanan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee berkata, selepas usul persempadanan semula diluluskan ia tidak akan melalui Dewan Negara.

“Perdana Menteri Najib Razak akan membawanya terus kepada Yang Di Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda.”

Beliau berkata, usul itu perlu dibahas dan diluluskan dengan majoriti mudah iaitu lebih separuh daripada 222 ahli Parlimen.

Persidangan penggal keenam Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung selama 20 hari dan berakhir 5 April ini.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .