Thursday, April 19, 2018

Di Selangor Orang Angkut Air Dengan Baldi, Johor Ada Masa Depan Lebih Baik

Musang Maya (Nur Shila)     3:33:00 PM    

BATU PAHAT, 19 Apr: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa keyakinan terhadap potensi negeri Johor untuk menjadi satu kuasa ekonomi baru dalam negara.

Keyakinan beliau itu berdasarkan beberapa projek pemangkin yang kini dalam pelaksanaan, yang mana dijangka memberi kesan besar kepada masyarakat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata antara projek-projek yang dimaksudkan termasuk pembangunan Wilayah Ekonomi Iskandar Malaysia (Iskandar Malaysia), Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Desaru Coast dan Sistem Rapid Transit (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands, Singapura.

“Maka, projek-projek ini akan mengangkat negeri Johor sebagai kuasa ekonomi baharu dalam negara kita.

“Lebih-lebih lagi, Selangor sekarang ini ada masalah air, orang angkut baldi di Selangor, negeri Johor ada masa depan yang jauh lebih baik,” kata beliau ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat, di sini hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana telah menyumbangkan sebanyak RM700,000 untuk memperbesarkan unit hemodialisis di Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat di sini serta komitmen PNB untuk membina sebanyak 5,000 rumah mampu milik di seluruh negara.

Untuk negeri Johor, beliau juga telah berbincang dengan Pengerusi PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar supaya rumah mampu milik yang dibina boleh ditambah jumlahnya.

“Dia (Abdul Wahid) kata dengan syarat kerajaan negeri bagi tanah dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Besar) kata bila-bila masa kerajaan Johor boleh bagi tanah.

“Malah Datuk Ab Aziz Kaprawi (penyandang kerusi Parlimen Sri Gading) juga telah berbisik agar 200 unit dibina untuk Parit Yaani. Kalau ada tanah… tiada masalah, kita bagi 200 unit, “ kata Najib.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .