Wednesday, April 18, 2018

Lebih banyak premis, barangan lagi murah

Musang Maya (Nur Shila)     9:55:00 AM    

Sebanyak 50 barangan keperluan harian pelbagai jenama dijual lebih murah oleh rangkaian pasar raya di seluruh negara yang menjadi rakan kongsi kepada Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) 2.0, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, sebagai permulaan sebanyak 51 premis KR1M 2.0 beroperasi di seluruh negara mulai bulan ini.

Beliau berkata, KR1M 2.0 menyasar membuka 300 premis di rangkaian pasar raya seluruh negara yang akan dipilih Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sehingga akhir tahun ini, dengan sasaran 3,000 premis dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Saya yakin KR1M 2.0 menawarkan barangan berjenama dan berkualiti, sekali gus menjadi pilihan rakyat di bandar dan luar bandar,” katanya ketika melancarkan KR1M 2.0 di Pasar raya TMG, di Temerloh, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan EXCO Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

KR1M 2.0 yang dilancarkan semalam adalah penjenamaan semula kepada program KR1M yang sebelum ini diperkenalkan melalui inisiatif pihak swasta yang dibantu kerajaan sejak 2011.

Perkenal model baharu

Menerusi KR1M 2.0, kerajaan melalui KPDNKK memperkenalkan model baharu yang lebih terbuka, berdaya saing dan beri peluang lebih ramai peniaga runcit menyertai KR1M 2.0

Model baharunya berkonsepkan kepada tiga kategori model perniagaan iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar; operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.

Najib juga berkata, KR1M 2.0 tidak lagi menjual barangan yang tidak berjenama kerana maklum balas yang diterima kerajaan mendapati rakyat lebih berminat kepada barangan yang berjenama tetapi mahukan harga yang lebih murah berbanding pasaran.

Katanya, inisiatif kerajaan ini akan memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Kita harap rakyat datang membeli-belah di premis KR1M 2.0 ini dan buat perbandingan dengan kedai biasa. Kalau nak jimat berbelanja, kita mesti menjadi pengguna yang bijak dan berhemah.

“Jadinya, pergilah ke kedai yang jadi rakan kongsi KR1M 2.0 ini. Ia akan beri keuntungan, bukan sahaja kepada pembeli tetapi juga kepada pekedai yang mengambil bahagian dalam skim ini kerana mereka mendapat pelanggan yang lebih ramai berbanding sebelum ini.

“Inilah contoh kerajaan yang prihatin dengan keperluan dan kehendak rakyat, dan kita tunaikan apa yang sudah kita janjikan,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas perasmian itu, Hamzah menjelaskan yang KPNDKK menyasar untuk menyenaraikan lebih daripada 100 barangan berjenama pada harga rendah menerusi KR1M 2.0.

Beliau berkata, ketika ini 50 barangan disenaraikan termasuk empat barang kawalan iaitu gula, beras, tepung dan minyak masak, manakala barangan bukan kawalan ialah minuman coklat, pelbagai jenis minuman berkabonat, lampin pakai buang, mi segera dan susu formula.

“Kita tawarkan 50 barangan sebagai permulaan tetapi jumlahnya akan ditambah secara berperingkat, kita sasarkan sekurang-kurangnya 100 barangan pada masa hadapan,” katanya.

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .