Friday, April 20, 2018

Proses bawa balik wanita, anak di Syria ambil masa

Johari Seman     12:30:00 PM    

KUALA LUMPUR, 20 Apr: Proses membawa balik wanita Malaysia yang dipercayai bersama militan Daesh di Syria, dan empat anaknya yang ditahan di sebuat pusat tahanan di negara berkenaan akan mengambil masa kerana ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata proses tersebut ketika ini berada di peringkat awal perbincangan melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Wisma Putra dan pihak berkaitan di Syria.

“Kita akan lihat pilihan apa terbaik untuk dilakukan ketika ini kerana selain beliau, kita kenal pasti kira-kira 10 lagi pasangan yang masih berada di sana (Syria). Kita sudah pun menemui anggota keluarga mereka yang terlibat bagi membantu dan melihat situasi terbaik untuk membawa mereka pulang.

“Tapi kita juga ingin mengetahui keadaan atau lokasi sebenar mereka, sama ada masih di Syria atau di negara lain dan bila dah tahu, barulah kita boleh merancang pelan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas hadir sebagai anggota panel forum Pelampau Agama Pencetus Perpecahan Ummah di Masjid Al Hidayah Kampung Sungai Penchala, di sini semalam.

Beliau berkata mana-mana individu yang telah ke Syria untuk terlibat dengan kumpulan itu akan dikenakan hukuman. namun ia bergantung kepada kes.

Ayob berkata jika kanak-kanak atau wanita yang terlibat, pihaknya tidak akan mengenakan hukuman tahanan dalam penjara tetapi mereka akan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

“Selain itu, selama tempoh 28 hari siasatan di bawah Sosma, kita akan jalankan siasatan terperinci sejauh mana penglibatan wanita ini,” katanya.

Seorang wanita Malaysia berusia 30-an yang dipercayai berjuang bersama militan Daesh di Syria, meminta bantuan polis dan kerajaan bagi menyelamatkan beliau dan empat anaknya yang ditahan di sebuat pusat tahanan di sana.

Menurutnya, wanita itu menghubungi bapanya lebih dua minggu lepas memberitahu dia dan empat anaknya kini berada di sebuah kem tahanan, manakala suaminya yang ditawan pasukan militan Kurdistan berada di penjara.– Bernama

0 comments :

AMARAN!!!! Komen jahat akan di padam,

© 2018-2020 SELANGOR POST. . BEBAS DAN DIYAKINI .